Monday, May 5, 2008

Kambing Hitam(Sebelum dan Sesudah 13 Mei)

 SEBELUM

Sepinggan nasi di stadium Negara
lima belas ringgit cuma
sengih para menteri goncang-goncang tangan
 -ada komentar dalam hati
para tauke gendut bibir berlemak
bersama menyanyikan lagu Berjaya
untuk mereka yang BERJAYA!!

 13 MEI

Secupak beras di ibu kota
semangkuk darah harganya
nilai pasaran Jalan Raja Muda
 -tidak ada tukaran wang hari ini
 harga besi mengejut tinggi
pembeli-pembeli saling berebutan
rumah jadi hitam langit hitam
 merah senja ibu kota
 merah warna jalan raya
 merah air Sungai Klang
 merah baju si anak malang
menteri demi menteri di TV
 -demokrasi telah mangkat
pemakamannya di mana saja,di mana saja pemabuk
 politik-ganja
 -taridra 13 Mei
mahkamah sepi para hakim kehilangan palu
kini dibentuk mahkamah di jalan-jalan raya
masing-masing pendakwaraya menghujah tanpa bahasa
saling menjatuhkan hukuman
 -sorak-sorai para juri tanpa kerusi

BERKURUNG

Para pengubah dendang Berjaya ke mana hilangnya
para tauke bibir berlemak nyaman bermahjung
poker jadi perlu mempertajam mata dan otak
ada rindu pada kuda entah makan gerangan tidak
orang kayangan makan angin ke luar negeri negara kita
 makmur!
rakyat si buruh si miskin menggadai nyawa percuma
biskut sekeping rebutan anak-anak lapar
beras segenggam seperiuk kanjinya makan sekeluarga

 SESUDAH

Kekuasaan negara berteriak mencari
 ”mana dia kambing hitam
      kambing hitam”
namanya perkauman
namanya komunis
namanya ultra
namanya gangster
Ahli fikir negara merumuskan penyelesaian
 jamuan teh makan durian
 makanlah buah tempatan
di meja muhibah di kerusi muhibah
sesama mereka beritanya besar di akhbar mereka.

 
KINI

Betapa larisnya buku 13 MEI
ilham dan mimpi seorang wali
terkutuklah barang siapa mengutukinya
si perkauaman si komunis si ultra si gangster
rakyat si buruh si miskin gali kubur sendiri
di gua bimbang di penjara takut
saling mencuriga
kesan politik-ganja
sebelum dan sesudah 13 MEI.

1969
  

Posted by Bucuk in 08:01:50 | Permalink | No Comments »

Friday, May 2, 2008

Satu Mei

Satu Mei

Merekalah menyusun lapis-lapis besi waja
Merekalah membina batu bata
Membancuhnya dengan titik peluh
-bangunan tinggi itu masih jua meminta
 lalu diberikan nyawanya.

Merekalah yang menyedut udara kotor
Racun gas itu berbaur di rongga
menjalari saraf pernafasannya
menghentikan detak jantungnya
-segalanya untuk upah beberapa sen cuma.

Mereka sembunyikan mesin-mesin kilang
debu dan serbuk logam berterbangan
hari demi hari berkumpul bersarang
di jantung dan paru-parunya
-jentera kilang itu masih jua meminta
 lalu kudunglah jarinya
 lalu kudunglah tangannya
 lalu kudunglah nyawanya
segalanya untuk upah beberapa sen cuma.

Merekalah menggali perut bumi yang sakit
lumpur dan pasir memenuhi tiap rongga
tanah lombong yang selalu mengucapkan simpati
menimbusi membungkus tubuh para pekerja
melindunginya dari pemerasan kejam
-upah yang diterimanya sekadar besar segenggam.

Merekalah mewarisi pusaka zaman
seluar sehelai baju bertampal
tikar buruk di sudut bangsal
tulang selangka dapat dibilang.

Mereka kini menyedari kekuatan diri
Mengubah wajah sebuah negeri
Menukar nama seorang menteri
di matanya api di tangannya besi

1971

Posted by Bucuk in 04:41:27 | Permalink | No Comments »

Satu Mei

Satu Mei

Merekalah menyusun lapis-lapis besi waja
Merekalah membina batu bata
Membancuhnya dengan titik peluh
-bangunan tinggi itu masih jua meminta
 lalu diberikan nyawanya.

Merekalah yang menyedut udara kotor
Racun gas itu berbaur di rongga
menjalari saraf pernafasannya
menghentikan detak jantungnya
-segalanya untuk upah beberapa sen cuma.

Mereka sembunyikan mesin-mesin kilang
debu dan serbuk logam berterbangan
hari demi hari berkumpul bersarang
di jantung dan paru-parunya
-jentera kilang itu masih jua meminta
 lalu kudunglah jarinya
 lalu kudunglah tangannya
 lalu kudunglah nyawanya
segalanya untuk upah beberapa sen cuma.

Merekalah menggali perut bumi yang sakit
lumpur dan pasir memenuhi tiap rongga
tanah lombong yang selalu mengucapkan simpati
menimbusi membungkus tubuh para pekerja
melindunginya dari pemerasan kejam
-upah yang diterimanya sekadar besar segenggam.

Merekalah mewarisi pusaka zaman
seluar sehelai baju bertampal
tikar buruk di sudut bangsal
tulang selangka dapat dibilang.

Mereka kini menyedari kekuatan diri
Mengubah wajah sebuah negeri
Menukar nama seorang menteri
di matanya api di tangannya besi

1971

Posted by Bucuk in 04:40:50 | Permalink | No Comments »

Melayu Johor

MELAYU Johor

Melayu Johor
Telah terlalu banyak kita kehilangan
Sawah ladang bertukar tangan
Pekan dan bandar kita menumpang
Teluk Belanga entah ke mana
Yang tinggal hanyalah pakaian
Sedarah sedaging hampir hilang
Yang ada hanyalah setulang
Selat Teberau kian sempit
Hati rindu jauh tergamit.

Di Johor
Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu
Banjar itu Melayu
Minangkabau memang Melayu
Aceh dan  Siak adalah Melayu
Jakun dan Sakai lebih Melayu,
Arab dan Turki pekat Melayu
Mamak dan Malbari jadi Melayu
Malah mualaf bertakrif Melayu.

Melayu itu maknanya bijaksana
“Jika menipu pun bersopan”
kurang ajarnya tetap santun
Dajalnya cukup selamba
Budi bahasa jangan di kira
Beraninya cukup benar
Tundu bila bersalah
“Lembutnya cukup jantan”
Setia samapai ke kubur
Biar mati adat jangan mati sahabat

AnakJohor
Luka di Tanjung Putri
Parutnya di Parit Raja
Muka biar berseri
Mulut biar berbahasa.

Berkelahilah cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dalan senyum
Marahnya dalam tertawa
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolok permusuhan
Jiwa Melayu mengangkat persahabatan
Kasih sayang kekeluargaan
Ringan tulang saling bertolongan
Jujur memaafkan,ikhlas memberikan.

Berdamailah cara Melayu
Silaturahim yang murni
Di mulut sama di hati,
maaf sentiasa bersahut
Tangan di hulur bersambut
Luka pun tidak lagi berparut.

Melayu Johor saudaraku yang dikasihi,
dalam kekeruhan ini carilah perdamaian
Sifat terpuji setiap insan
Bermuafakat supaya berkat
Bersaudara dunia akhirat,
Berikhtiar dengan tabah
Kepada ALLAH berserah

p/s:Pada 18 Disember 1988 satu perhimpunan Melayu Johor diadakan untuk
    mencari penyelesaian kepada masalah perpecahan di kalangan tokoh-tokoh
    politik Melayu(UMNO).Beliau(Usman Awang) menghasilkan puisi “Melayu Johor”
    yang di ucapkannya dalam perhimpunan itu dan kemudian di sampaikan pula
    kepada Perdana Menteri.

Posted by Bucuk in 04:37:35 | Permalink | No Comments »

Wednesday, April 23, 2008

Keranda 152

Keranda 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu

-Usman awang-
Tahun 1967Smile

p/s : Telah lama aku memikir dan bertanya kepada orang,apakah keranda 152 itu?
 apakah maksud tersiratnya?Mengapa usman awang menghasilkan sajak yang sedemikian rupa.
 Hari ini,aku telah mendapat jawapannya dari blog seseorang yang mengenali dirinya sebagai jiwa rasaLaughing

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu telah melalui sejarah yang panjang. Pejuang bahasa sebelum merdeka adalah juga pejuang bangsa dan pejuang kemerdekaan. Keranda 152 adalah satu episod dari rantaian perjuangan meletakkan Bahasa Melayu di tempat yang selayaknya.

Buku Keranda 152, Bahasa kita, Air Mata & Maruah Kita, adalah sebuah buku yang sudah lama saya cari. Ianya merupakan buku yang diterbitkan semula oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 2002. Buku asalnya berupa himpunan tulisan berbentuk stensilan pada tahun 1968. Ianya berupa cetusan hati untuk memperingati ulangtahun peristiwa penentangan terhadap Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967). Buku ini menceritakan detik detik peristiwa penentangan yang berlaku pada 3 Mac, 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa & Pustaka.

Apa sebenarnya Keranda 152? Ianya merujuk kepada Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah salah satu dari kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh rakyat berbilang bangsa.

Sewaktu detik mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tuntutan rakyat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai sesatunya Bhasa rasmi telah tidak dapat dipenuhi oleh parti yang memerintah. Alasannya kerana Bahasa Melayu belum benar-benar bersedia untuk mengambil-alih tugas Bahasa Inggeris yang telah digunakan oleh penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara. Atas sebab itu, Bahasa Inggeris masih dibenarkan penggunaannya, untuk tempoh masa 10 tahun lagi. Tempoh itu dirasakan manasabah untuk setiap rakyat Tanah Melayu mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu.

Apa yang berlaku pada tahun 1967, Bahasa Inggeris masih diberi ruang yang besar sebagai bahasa rasmi. Badan NGO Melayu rasa terkejut dengan beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang Bahasa 1967 yang masih mengekalkan Bahasa Inggeris dalam beberapa bidang terutama bidang kehakiman.

Apa gunanya merdeka, jika bahasa anak pribumi dianggap sebagai bahasa kelas ketiga dan tidak layak diguna di negara sendiri? Adakah tempoh 10 tahun masih tidak cukup untuk setiap rakyat memantapkan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan? Inilah yang diperjuangkan oleh pejuang bahasa dalam tahun 1967. Mereka berasa bagi dikhianati oleh para pemimpin yaang kononnya memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.

Sekumpulan 9 orang peguam Melayu telah menghantar memorandum menyuarakan bantahan namun tidak dipedulikan oleh parti yang memerintah.

Kemarahan orang Melayu membuak-buak. Seramai 2,000 orang mewakili 120 pertubuhan orang Melayu telah berhimpun di Balai Budaya, DBP pada petang Jumaat 3 Mac, 1967.
Perhimpunan ini menyaksikan orang Melayu bersatu tanpa mengira fahaman politik. Peristiwa itu juga diingati dengan ucapan Tun Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP yang menitiskan airmata mengenangkan nasib Bahasa Melayu;

“…saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat…”

Kemarahan rakyat sudah tak terbendung menyaksikan sekumpulan aktivis bersedia mahu berarak ke Bangunan Parlimen. Mereka mahu mengusung Keranda 152 yang membawa jiwa bangsa yang sudah ditamatkan hayat oleh bangsanya sendiri.

Peristiwa Keranda 152 akan diingat sebagai satu episod dalam sejarah perjuangan Bahasa Melayu. Balai Budaya yang menjadi saksi peristiwa bersejarah itu, kini sudah ditukar nama kepada Balai Tun Syed Nasir. Peritiwa 13 Mei 1969, kemudiannya seakan menjadi penyelamat bila Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara. Kemuncak perjuangan ini menyaksikan lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 yang menyaksikan buat kali pertama, Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai pengantar utama.

Tahun ini genap 4o tahun Peristiwa Keranda 152. Ramai yang mungkin lupa, tak tahu atau buat-buat lupa. 4o tahun Keranda 152 dan 50 tahun merdeka adalah saat yang mungkin sesuai untuk bermuhasabah dan menyoal diri…

Di manakah Bahasa Melayu?

Masih di dalam keranda?

blog dari Jiwa Rasa

Posted by Bucuk in 08:45:31 | Permalink | No Comments »